1. Malam pertama Ramadhan, masjid atau surau terutamanya menerima kunjungan yang luar biasa. tak terbilang ramainya tak kira lelaki, perempuan, muda , tua atau kanak-kanak.
2. Ketika itu seolah-olah surau tersebut perlu diperbesarkan segera. Jemaah melimpah hingga ke luar. Peruntukan daripada kerajaan perlu dipohon.
3. Dalam seminggu Ramadhan, tak banyak bezanya. Pengunjung surau atau masjid tak banyak surutnya.
4. Masuk minggu ke 2 dan ke 3, saf makin ke depan dan terus maju ke depan.
5. Begitu juga malam 10 terakhir Ramadhan. Surau dan masjid semakin lengang. Malam Lailatul Qadar yang bersamaan dengan beribadat seribu bulan bukan menyebabkan Rumah Allah ini semakin sesak. Tawaran keampunan dan pahala yang berlipat ganda tidak dapat melawan tarikan di pusat beli belah ataupun kesibukan untuk membuat kuih raya.
6. Kini, Ramadhan telah berlalu. Surau dan masjid hanya dikunjungi oleh jemaah yang boleh dihitung dengan jari. Seorang ustaz pernah membuat perbandingan, bilangan kipas di masjid atau surau lebih banyak daripada bilangan manusia yang berjemaah solat 5 waktu!
7. Namun, terbukti bahawa Ramadhan ialah bulan rahmat. Kehadirannya menarik manusia seketika untuk berkunjung ke surau dan masjid.
8. Pastinya, surau dan masjid akan meriah kembali pada awal Ramadhan tahun depan.
9. Bersama-sama megimarahkan rumah Allah ini.Jika kita yang tidak mengunjunginya siapa lagi? Jika kehadiran di masjid dan surau menjadi ukuran perpaduan dan kekuatan dalam kalangan orang Islam, ternyata perpaduan terlalu jauh untuk dicapai.
10. Usah bercakap soal perpaduan Islam atau begitu petah menyatakan kelemahan dan kemunduran jika ,untuk melangkahkan kaki menuju ke surau dan masjid sekurang-kurangnya sekali dalam sehari pun kita tidak mampu atas alasan tiada masa.
No comments:
Post a Comment