18 October 2008

Jika Polis Rasa Terancam....Orang Ramai Apa Lagi

Berikut disiarkan jawapan Menteri Dalam Negeri seperti yang tersiar dalam Utusan Online 17 oktober 2008.
Pondok polis Jalan Haji Taib ditutup

KUALA LUMPUR 16 Okt.2008 (Utusan Online) - Pondok Polis di Jalan Haji Taib terpaksa ditutup kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati lokasi itu tidak selamat untuk anggota yang bertugas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, persekitaran kawasan yang kotor, kemungkinan terdedah kepada penyakit berjangkit serta ancaman penjenayah boleh memudaratkan keselamatan anggota.

''Pihak polis sedang berusaha mendapatkan lokasi baru yang berdekatan dengan kawasan berkenaan untuk mendirikan pondok polis baru agar dapat memberikan perkhidmatan yang terjamin serta berterusan kepada orang awam di kawasan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Dr. Lo Lo Mohamad Ghazali (PAS-Titiwangsa) yang ingin tahu mengapa pondok polis di Jalan Haji Taib ditutup pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Syed Hamid memberitahu, PDRM sentiasa mengadakan operasi berterusan di kawasan Jalan Haji Taib dan Jalan Chow Kit dalam usaha membanteras aktiviti serta kegiatan pelacuran.

Katanya, PDRM melaksanakan empat tindakan bagi mengatasi masalah pelacuran dan maksiat di kawasan tersebut iaitu pertama pemeriksaan rumah-rumah tumpangan dan hotel-hotel murah yang disyaki menjalankan aktiviti pelacuran.

Kedua katanya, menjalankan pemeriksaan dan serbuan ke atas hotel-hotel sekitar Jalan Chow Kit yang mempunyai perkhidmatan urut atau spa memandangkan ada hotel-hotel yang kononnya menawarkan perkhidmatan urut dan spa itu sebenarnya menjalankan kegiatan pelacuran.

''PDRM juga menjalankan tangkapan terhadap wanita-wanita yang terlibat dalam aktiviti pelacuran dan juga pihak yang terlibat dengan penganjuran aktiviti pelacuran," ujarnya.

Selain itu katanya, pihak polis juga menjalankan risikan terhadap subjek-subjek yang menjalankan kegiatan pelacuran.

Komen: Jika Polis rasa terancam, pasti orang ramai lebih lagi rasa terancam di Chow Kit atau di mana-mana jua. Pihak berkuasa tidak patut melakukan tindakan yang seolah-olah takut kepada penjenayah. Kesimpulan yang boleh dibuat ialah jauhilah Chow Kit. Sesuatu yang buruk boleh berlaku kepada anda kerana Polis pun takut untuk berada disitu walaupun mempunyai senjata.

No comments: