16 September 2010

Keganasan terus mewarnai 2010

Ternyata seperti yang pernah ditulis pada awal tahun ini, 2010 nampaknya penuh dengan cerita keganasan. Keganasan dan jenayah dilakukan tidak dapat digambarkan akan berlaku di bumi yang begitu aman damai ini...kata ahli politik.
Pembunuhan kejam Dato' Susilawati dan tiga yang lain dilakukan oleh seorang peguam yang bergelar Dato mengejutkan kita kerana cara pembunuhan itu tidak pernah dilihat dalam mana-mana filem. Mungkin ada dalam filem hindi atau Tamil agaknya.
Sebagai rakyat Malaysia, banyak pertanyaan yang timbul. Memang kita akui Polis cekap menangkap sipembunuh dalam kes Sosilawati ini namun dikatakan sebelum ini sudah 4 orang sudah hilang dan telah membuat laporan Polis.

Persoalan yang timbul ialah mengapa tiada siasatan rapi dilakukan. Andainya siasatan rapi dilakukan kes yang menimpa Sosilawati tidak akan berlaku. Kita bimbang andainya berlaku penyiasatan terpilih oleh pihak Polis. Hanya yang ada nama dan diberi liputan akhbar sahaja akan disiasat. Rakyat biasa yang tidak ada apa-apa kedudukan akan dibiarkan begitu sahaja.

Polis kita memang diakui cekap. Bukan cekap sahaja dituntut tetapi membanteras jenayah tanpa mengira status. Golongan kaya dan hartawan mampu mengadakan kawalan ke atas premis masing-masing seperti mempunyai pengawal keselamatan sendiri, sistem penggera keselamatan dan pelbagai lagi. Bagi golongan yang lain pasti hanya mengharapkan pasukan Polis yang cekap dan profesional untuk memastikan dapat hidup dengan aman dan damai.

No comments: