22 November 2009

Kotor punca taun merebak di Terengganu

Produk keropok Terengganu masih selamat dimakan

22/11/2009 6:17pm

KUALA TERENGGANU 22 Nov — Semua produk keropok termasuk keropok lekor yang dipasarkan di Terengganu masih selamat untuk dimakan, namun pengguna perlu memastikan ia dimasak sepenuhnya terlebih dahulu dan dimakan semasa masih panas. Pengarah Kesihatan negeri Terengganu Dr Nordiyanah berkata pengguna tidak digalakkan memakan keropok yang sudah sejuk walaupun telah digoreng atau direbus di kedai sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak jangkitan penyakit taun.

"Keropok lekor dan keropok keping di negeri ini masih selamat untuk dimakan, tetapi bagi keropok lekor yang dibeli bungkus, sebaiknya apabila pulang ke rumah, ia hendaklah dimasak semula dan dimakan semasa ia masih panas.

"Ini kerana kita bimbang semasa proses pembungkusan ia juga terdedah dengan pencemaran terutama jangkitan kuman yang menyebabkan taun,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Pihaknya juga tidak mengeluarkan sebarang arahan melarang atau menarik balik bahan makanan kegemaran ramai itu yang telah diedarkan di pasar-pasar kerana ia bukan tidak boleh dimakan, cuma perlu dimasak semula dengan sempurna, katanya.

Beliau diminta mengulas kebimbangan sesetengah pihak untuk makan keropok terutamanya keropok lekor setelah produk itu dikenalpasti sebagai salah satu punca penularan wabak taun di negeri itu sekarang. Persatuan Pengguna Terengganu juga dilaporkan menyarankan orang ramai tidak membeli keropok lekor atau keropok berasaskan ikan buat sementara waktu bagi mengelak jangkitan taun.

Kementerian Kesihatan semalam mengesahkan penggunaan ikan yang dicemari kuman ”Vibrio Cholera” untuk pembuatan keropok merupakan antara punca penularan wabak taun sejak beberapa minggu lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ikan berkenaan diperolehi dari negara jiran Thailand, berkemungkinan dibawa masuk ke negeri itu melalui Kompleks Perikanan Chendering yang membekalkan ikan ke daerah Kuala Terengganu dan Marang.

Selain keropok, sampel ayam mentah yang diambil dari Pasar Borong Gong Pauh di Wakaf Mempelam dan sampel swab di dua kilang ais di negeri itu juga didapati positif mengandungi kuman berkenaan.

Berikutan itu, dua kilang berkenaan telah diarahkan ditutup selain beberapa premis lain termasuk 11 kilang ais dan kedai-kedai makan.

Dr Nordiyanah berkata, mana-mana kilang yang mematuhi syarat penyediaan makanan yang ditetapkan, masih boleh beroperasi seperti biasa.

Tanpa mendedahkan statistik terbaru jangkitan taun di Terengganu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mementingkan kebersihan terutama dalam aspek pemakanan.

"Sekali lagi kita ingin mengingatkan penduduk yang mengalami simptom penyakit taun, iaitu cirit-birit dan muntah terutama selepas makan untuk mendapatkan rawatan segera, mengamalkan kebersihan diri, tidak makan di restoran atau gerai yang diragui tahap kebersihannya dan tidak minum air yang tidak dimasak,” katanya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak bermain air pada musim banjir bagi mengelak dijangkiti penyakit itu dan pelbagai penyakit bawaan air. "Kita bimbang apabila banjir berlaku kerana ia mengandungi kuman setelah air berkenaan tercemar apabila ia bercampur dengan pelbagai najis,” katanya.

— BERNAMA


Masalah kebersihan punca taun merebak

KUALA TERENGGANU 21 Nov. – Masalah kebersihan merupakan punca utama penularan wabak taun di Terengganu. Ia menyebabkan pencemaran berlaku di kilang-kilang ais, keropok lekor dan pasar basah hingga memaksa taun diisytihar wabak di negeri itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika mengesahkan perkara itu berkata, sebanyak 115 premis telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut, 20 premis diarahkan tutup serta-merta selama 10 hari.

‘‘Sebanyak 11 buah kilang ais, empat buah kilang keropok, sebuah pasar dan empat restoran diarahkan tutup untuk tujuan pengawasan.

“Hasil siasatan melalui sampel ayam mentah dan keadaan air di beberapa buah premis dan kilang ais terbabit didapati tercemar dengan kuman kolera,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat pesakit taun di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Selain itu, pihaknya mendapati ada kemungkinan ikan yang dibekalkan kepada kilang keropok sekitar daerah itu dicemari kuman vibrio cholera dari negara Thailand.

Beliau juga tidak menolak pencemaran itu berlaku ketika proses pengagihan ikan di Kompleks Perikanan Chendering.

Mengulas lanjut, Tiong Lai berkata, pengawasan di kesemua premis tersebut akan dipertingkatkan kerana wabak taun yang merebak di negeri ini dikenal pasti daripada kuman kolera jenis baru itu.

Ujarnya, hasil kajian awal mendapati kuman itu tidak memberi tindak balas terhadap ubat antibiotik yang sering digunakan.

“Sejak lima tahun lalu, wabak taun tidak melanda dan ini merupakan kes yang paling teruk dan serius, bagaimanapun kita telah menemui antibiotik yang boleh mengubati penyakit ini,” jelasnya.

Mengenai jumlah kes pula, tambah beliau, sehingga hari ini, sebanyak 145 kes dilaporkan berbanding semalam 138 kes disahkan positif penyakit itu dan menerima rawatan di hospital tersebut.

Beliau berkata, 482 pesakit masih dirawat di hospital iaitu 322 pesakit disyaki mengalami cirit-birit, 138 kes disahkan kolera dan 22 lagi adalah pembawa penyakit itu.

“Sebanyak sembilan wad telah disediakan untuk menempatkan pesakit-pesakit yang mengalami penyakit ini.

“Bagaimanapun, terdapat satu kes yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) seperti yang dilaporkan semalam dan pesakit itu telah pun stabil dan dipindahkan ke wad biasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tiong Lai turut menasihati orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak dijangkiti kuman kolera dengan meningkatkan penjagaan kebersihan.

No comments: