18 November 2009

Filem 2012: Berakhirkah dunia?




Apabila diajak untuk menonton filem yang diberi judul 2012 pada malam minggu yang lalu, saya tidak berfikir panjang untuk menerima pelawaan tersebut. Rasanya sudah 6 bulan saya tidak ke panggung wayang. Filem 2012 sememangnya filem yang saya tunggu-tunggu.



Filem yang menelan kos pembikinan AS$200 juta ini memang tidak mengecewakan terutama kesan visual yang kelihatan begitu 'real'. Bangunan pencakar langit yang menjadi penanda aras kemajuan sesebuah negara rebah satu persatu akibat ledakan yang maha hebat dari perut bumi. Apa jua yang ada di muka bumi musnah oleh tsunami yang tingginya ribuan meter. Malahan akhinya, puncak yang tertinggi bukan lagi Gunung Everest tetapi sebuah gunung di Afrika yang ternaik dek gerakan kerak bumi.

Filem ini diberikan tajuk 2012 sejajar dengan teori yang dikemukakan oleh Kaum Maya yang meramalkan bumi yang kita huni ini akan hancur pada 21 Disember 2012. Dengan kata mudahnya, kiamat akan berlaku pada tahun 2012.

Namun begitu apabila mendapati ada manusia yang terselamat dengan menaiki bahtera moden yang dibina, sudah tentu kejadian pada 2012 itu bukan kiamat. Pada saya, kejadian tersebut sama dengan peristiwa Bah Besar pada zaman Nabi Musa A.S ataupun peristiwa runtuhnya Empangan Maghrib yang telah menyebabkan terhapusnya tamadun yang hebat pada zaman itu kerana manusia sudah lupa kepada penciptaNya.

Bila berlakunya kiamat tetap menjadi rahsia Allah walaupun sudah ada tanda-tanda akhir kiamat yang nyata seperti yang dinyatakan di dalam Al-Quran.

Sebagai seorang Islam, apa yang dipaparkan di dalam tersebut wajar kita kaitkan dengan peringatan Allah. Tiada apa yang dapat menahan apabila tiba masa yang dijanjikan, dunia ini akan hancur.

Walaupun terdapat juga adegan yang tidak masuk akal tetapi keseluruhannya filem yang memakan masa 2 jam 40 minit memberikan banyak iktibar kepada manusia keseluruhannya. Tamadun yang kita lihat pada hari ini akhirnya akan musnah sekelip mata seperti yang berlaku kepada tamadun terdahulu yang banyak disebut di dalam Al-Quran. Sebuah tamadun baru akan muncul di Afrika yang terselamat daripada tsunami. Kiraan tahun juga turut berubah apabila dipaparkan tarikh 1.1.01. Khabarnya kehidupan baru manusia yang terselamat di dalam bahtera tersebut akan dijadikan siri televisyen yang diberi judul 2013.

Seperti filem cereka Hollywood lain, superhero tetap Amerika, cuma tertanya-tanya juga mengapa kali ini, Amerika memilih China sebagai tempat membina bahtera sementara bumi Amerika yang terlebih dahulu dipilih hancur. Presiden Amerika yang terakhir juga terkubur bersama runtuhnya White House. Mungkin juga ini merupakan strategi untuk menarik penonton daripada ratusan juta di bumi China untuk menonton filem ini. Juga untuk mengelakkan filem ini dilarang ditayangkan di negara Tembok Besar itu. Jadi, tidak mengejutkan jika tindakan bijak mengangkat martabat China dan tidak merendah-rendahkan negara lain membolehkan filem ini membuat kutipan tertinggi dalam sejarah filem Hollywood yang sukar ditandingi hingga 2012 jika benar Hollywood juga akan hancur dan pupus seperti ramalan filem tersebut.

No comments: