29 October 2009

Tomyam Campur Menjejaskan Kesihatan?



Tomyam memang menjadi kegemaran saya terutama tomyam yang dimasak oleh tukang masak Thailand sendiri.

Namun terkejut juga apabila terbaca kenyataan oleh Ahli Parlimen, Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) di Dewan Parlimen hari ini yang meminta penjelasan daripada Kementerian Kesihatan tentang dakwaan masakan tomyam campur, yang menggabungkan makanan laut dengan makanan darat contohnya ayam dan daging, mempunyai kaitan dengan jumlah penyakit dan daya tahan penyakit yang semakin rendah di kalangan rakyat negara ini.

Beliau berkata, menurut Islam adalah dilarang masakan yang mencampurkan makanan laut dan darat kerana dikhuatiri boleh memudaratkan sistem penghadaman manusia.

Tidak pula dinyatakan jenis-jenis penyakit yang berkaitan jika makan tomyam campur.

Kita tunggu penjelasan daripada Kementerian Kesihatan. Kalau betul dakwaan ini, masakan lain yang juga mencampurkan masakan laut dan masakan darat ialah sup yang dinamakan "sup antarabangsa". Sup ini biasanya mencampurkan semua jenis daging seperti daging ayam, kambing, perut tulang dan turut dicampurkan ikan.

Ikan Kelah RM100 seketul


Harian Metro 28 oktober 2009 melaporkan tentang harga seketul ikan kelah RM100. Terkejut juga membaca berita tersebut. Terkejut bukan kerana harga ikan kelah tersebut. Yang membuatkan saya terkejut ialah dakwaan Pengurus Hotel Seri Malaysia yang mendakwa berasa tertipu dengan harga RM100 setelah memakan seketul ikan kelah.

Harga ikan Kelah memang sedia mahal. Harga pasaran Kelah di sekitar Kuala Berang sebelum dimasak ialah antara RM70 hingga RM80 lebih sekilo. Biasanya harga yang ditetapkan bagi seketul ikan Kelah antara RM80 hingga RM100 lebih. Ada 3 buah kedai makan di Kuala Berang iaitu 2 buah di Kampung Gaung dan sebuah di kampung Telaga yang menyediakan hidangan ikan ini yang biasanya dimasak pedas kampung.

Pada saya harga yang dikenakan itu sememangnya harga pasaran di situ. Maklumlah tidak ada tempat lain yang menyediakan ikan tersebut. Bekalan ikan ini juga amat sukar didapati. Ini juga menjadi punca mengapa harga ikan ini amat mahal. Pengurus Hotel itu sepatutnya bertanya dulu harga seketul ikan sebelum menceduk atau memakannya.

Jangan terkejut kos makan tengah hari pelanggan di situ hingga mencecah ribuan ringgit. Semuanya gara-gara ikan Kelah.

26 October 2009

Bila Azan Berkumandang....



Ketika azan berkumandang,
Laungan Kalimah Allah dikeudarakan.
Seruan Allahu Akhbar (Allahu Maha Besar)!
Allahu Akhbar (Allah Maha Besar) menerpa seluas pandangan.

Namun, apalah ertinya...
Jika maksudnya tidak dimengerti.
Seruan yang menyeru ditunaikan solat,
Tidak lagi sekuat seruan keindahan fatamorgana.
Seruan yang menyeru agar ke masjid.
Tidak lagi sekuat bisingnya hiruk-pikuk kesibukan.

Masjid begitu besar tersergam,
Bukan sedikit masjid yang besar-besar.
Tapi masih tidak cukup besar jumlah pengunjungnya( lebih banyak bilangan kipas dari jemaah).

Lihatlah betapa ramainya tidak endahkan suara itu.
Kerana mungkin jauh di lubuk hatinya,
Tertanam kalimah yang lebih besar (iaitu):

Motor aku lagi besar, kereta aku lagi besar, duit aku lagi besar, gaji aku lagi besar, isteri aku lagi besar.

Harta aku lebih besar!

Solat?! Ahh... Kemudianlah...
Itu soal kecil saja...
Boleh qodho bila-bila saja..
(dipetik dari http://an-nawawi.blogspot.com/)

atau mungkin mereka tidak kisah
solat di rumahpun apa salah.
Habis apa gunanya masjid yang besar dan indah
sekadar penghias kota yang gah.





Masjid indah dan besar. Pemandangan biasa di seluruh pelusuk negara. Azan di masjid ini dan di seluruh Malaysia berkumandang 5 kali sehari. Sayangnya hanya segelintir yang menyahut seruan untuk berjemaah di dalamnya. Usah bercakap tentang perpaduan Islam selagi masjid kosong pada setiap waktu solat 5 kali sehari.

25 October 2009

DR M Kata Papan Tanda Wajah Pemimpin Mencemarkan Kecantikan Alam

Mungkin ini papan tanda yang dimaksudkan oleh Dr M.

Dr Mahathir melabelkan tindakan pemimpin meletakkan gambar mereka pada papan tanda besar sebagai menjelekkan dan mencemarkan kecantikan alam.

Saya pun rasa menyampah melihat pelbagai papan tanda dan kempen yang turut disertakan dengan gambar pemimpin.

Beberapa tahun dahulu, kempen pelancongan tempat-tempat menarik di Malaysia turut menyertakan bersama gambar menterinya dan PM, Pak Lah. Malangnya selepas selepas menteri tersebut tidak lagi dilantik sebagai menteri dan PM juga berubah, papan tanda tersebut hilang dari pandangan. Alangkah membazirnya papan-papan tanda tersebut yang sepatutnya terus tegak berdiri di sepanjang jalan dan lebuh raya jika tiada gambar menteri dan PM pada papan tanda tersebut.

Pastinya banyak lagi papan tanda sebegitu. Malahan amalan sebegini turut diikuti oleh parti politik pembangkang seperti PAS dan Keadilan.


Apakah orang ramai akan menyokong menteri, wakil rakyat atau ahli politik terbabit? Adakah mereka hendak menunjukkan bahawa mereka buat kerja bukan makan gaji buta dan betapa dekatnya mereka dengan PM atau MB?

Kita bukan lagi berada di zaman Mao atau Hitler yang banyak menggunakan gambar mereka sebagai alat propaganda. Zaman Saddam Hussin juga yang sudah berakhir yang turut menggunakan potret dan patung di serata Iraq untuk menunjukkan beliau pemimpin nombor wahid Iraq.


Komen Dr mahathir diharapkan akan membuka mata banyak pihak. Rakyat sebenarnya menyampah. Biarlah artis atau model sahaja yang menggunakan gambar yang sesuai dengan kerjaya mereka.

Memang benar kata Dr M, gambar mereka memang mencemarkan kecantikan alam. Sedarlah orang ramai sudah bijak.


SOUND BITES - WAJAH PEMIMPIN


1. Di zaman pemerintahan Tun Abdullah Badawi seluruh negara disalut dengan sepanduk dan papan tanda besar yang menunjuk wajah Perdana Menteri bersama Menteri-Menteri tertentu, Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri.

2. Seorang Menteri pelancongan mempamerkan sepanduk dan papan tanda yang mempunyai gambarnya bersama Perdana Menteri diseluruh negara seolah-olah pelancong akan tertarik melawat Malaysia untuk melihat sepanduk berkenaan.

3. Setelah Dato Seri Najib menjadi Perdana Menteri semua sepanduk dan iklan yang lama telah diturunkan.

4. Saya harap amalan seperti ini tidak diadakan lagi. Jauh daripada mereka yang menaikkan gambar mereka menjadi popular, rakyat sebenarnya jelak dan bosan melihat sepanduk-sepanduk ini mencemarkan kecantikan alam.

5. Saya akan ditegur bahawa di masa saya dulu ada juga sepanduk seperti ini yang dinaikkan oleh Menteri Besar tetapi tidak oleh Menteri Kabinet. Saya akui saya tidak ambil tindakan yang tegas menghentikan amalan ini. Tetapi tidak semua Menteri Besar yang mencuba tunjuk betapa dekatnya mereka dengan Perdana Menteri melalui cara ini.

6. Saya harap Barisan Nasional tidak memulakan semula amalan ini. Ia hanya akan menimbul kebencian kepada mereka.

22 October 2009

Ulasan Mufti Tentang Kejadian Sejadah Berdiri

Mufti larang umat Islam percaya sejadah berdiri, boleh bawa kepada khurafat

ALOR SETAR: Mufti Kedah Datuk Badarudin Ahmad menggesa umat Islam agar tidak percaya dengan kejadian sejadah boleh berdiri kerana ia boleh membawa kepada khurafat.

"Kita tidak mahu ada orang yang mengambil kesempatan melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan saya harap umat Islam sentiasa berpegang kepada ajaran Islam dan tidak mudah membuat andaian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini sebagai mengulas satu lagi kejadian kononnya sejadah berdiri yang berlaku di Pasir Mas, Kelantan dan Kampung Teluk Yan dekat sini.

Beliau berkata beberapa petugas Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) telah mengambil sejadah itu untuk dibawa pulang ke pejabat ekoran kejadian tersebut yang telah menjadi tumpuan orang-ramai di kawasan berkenaan.

Selepas kejadian sejadah berdiri di surau Sekolah Kebangsaan Tok Sangkut di Pasir Mas Kelantan semalam, kes yang sama berlaku di Surau Al-Rahmaniah Kampung Teluk Yan di sini Rabu dan juga di Tanah Liat Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Dalam kejadian di Kedah, seorang murid, Noor Zulaika Mohd Rashid, 9, mendakwa ketika dia dalam perjalanan ke kelas Al-Quran di sebuah rumah penduduk kampung yang terletak di belakang surau tersebut dia ternampak tiga helai sejadah berdiri.

"Saya nampak melalui tingkap surau yang terbuka, ada tiga sejadah yang berada dalam keadaan berdiri tetapi tidak bergerak dan saya terus memberitahu rakan saya," katanya di sini hari ini.

Sementara itu di PULAU PINANG semalam, kejadian serupa berlaku di sebuah surau di Tanah Liat, Bukit Mertajam pada waktu Asar hari ini, di mana empat helai sejadah yang seakan-akan orang sedang duduk dalam tahiyat dan menghadap ke arah kiblat.

Menurut seorang penduduk, Mohd Khalid Abdul Latif, beliau dimaklumkan oleh kawannya kira-kira pukul 5 petang.

"Apabila saya pergi ke surau itu, saya lihat ada sehelai sejadah di bahagian depan seolah-olah seperti imam dan tiga helai sejadah seperti makmum di saf belakangnya. Apa yang mengejutkan saya, di depan sejadah "imam" itu ada seutas tasbih," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Kejadian sejadah berdiri itu merupakan yang kedua di kawasan Bukit Mertajam selepas kali pertama berlaku di sebuah rumah di Taman Mohd Amin pada 2 Okt lalu.

Mohd Khalid, yang bekerja di sebuah kedai makan bersebelahan Masjid Kubang Semang di sini berkata kejadian itu memang sesuatu yang luar biasa.

Katanya, kejadian itu menarik perhatian orang ramai yang tidak henti-henti berkunjung ke surau berkenaan untuk melihat sejadah berdiri tersebut.

"Bagaimanapun, sejadah itu dilipat oleh jawatankuasa surau sebelum masuk waktu Maghrib tadi bagi mengelakkan ia menjadi perkara khurafat. Saya sempat merakamkan kejadian itu dengan telefon bimbit," kata Mohd Khalid.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Negeri (JKKKN) Mukim 5, Sungai Semambu, Siti Noriza Abu Bakar berkata kejadian itu disedari apabila ada orang hendak menunaikan solat Asar di surau berkenaan petang tadi.

"Ada dua orang penduduk kampung pergi ke surau itu untuk bersembahyang dan sebaik mereka memasuki surau itu, mereka ternampak empat sejadah dalam keadaan berdiri. Bagaimanapun, mereka terus sembahyang dan lepas itu baru memaklumkannya kepada orang kampung," katanya.

21 October 2009

Lagi Sejadah Berdiri


Sejadah yang dikatakan seperti sedang
bersolat yang dilaporkan diKg Tok sangkut, Repek, Pasir Mas
pada 15 september 2009 (Gambar Kosmo)


"Kejadian sejadah berdiri membuktikan keagungan Allah yang mahu umatnya bermuhasabah diri", demikian ulasan seorang saksi.

Bagus kesimpulan tersebut....cuma rasa kecewa juga. Rasanya kita lupa tentang kehebatan dan kekuasaan dan keagungan Allah sebenarnya ada di mana-mana jika kita benar-benar melihat dengan mata hati kita.

Lihat sahaja kejadian diri kita sendiri, hidupan dan tumbuhan di sekeliling kita. Malahan melihat kejadian serangga yang paling kecil seperti semutpun, pasti kita rasa kagum dan takjub tanpa perlu kita menunggu dan heboh dengan kejadian yang belum tentu benar atau tidaknya kejadian tersebut. Bimbang nanti akan timbul perkara-perkara yang khurafat.

Sekadar contoh...kejadian tumbuhan seperti di portal ini wajar mengagumkan kita sebagai seorang Islam.
The Miracle In The Seed

Semoga kita sentiasa menjadi hamba yang bersyukur dengan segala nikmat kurniaanNya.

Gempar 35 sejadah berdiri di surau (Malaysiakini..20 September 2009)

>Warga SK Tok Sangkut di Pasir Mas gempar apabila 35 helai sejadah di dalam surau didakwa berdiri secara misteri dengan sebahagiannya menyerupai individu sedang menunaikan solat.

Kejadian itu disedari seorang murid yang kemudiannya memaklumkan kepada gurunya Adnan Abdullah, 37, ketika sesi pembelajaran dijalankan berhampiran surau berkenaan.

"Kejadian berlaku pukul 10.40 pagi, ketika saya menjalankan sesi pembelajaran di luar kelas disebabkan kelas sedang diubahsuai, seorang murid yang terpandang ke arah surau memberitahu sejadah kelihatan berdiri," katanya kepada pemberita di Pasir Mas hari ini.

Adnan berkata beliau kemudiannya membuka pintu surau dan amat terkejut melihat sebanyak 35 helai sejadah dalam keadaan berdiri iaitu 16 helai di bahagian lelaki dan 19 lagi di bahagian perempuan.

"Lebih aneh lagi apabila satu helai lagi berada di bahagian hadapan sekali iaitu di tempat imam dalam keadaan yang sama menunjukkan seolah-seolah sedang melakukan solat secara berjemaah," katanya yang telah mengajar di sekolah berkenaan sejak tujuh tahun lalu.

Menurut Adnan, beliau percaya kejadian itu membuktikan keagungan Allah yang mahu umatnya bermuhasabah diri.

"Bagaimanapun ia terpulang kepada tafsiran individu, bagi saya tak mungkin perkara ini dilakukan oleh manusia kerana tempoh semua sejadah dalam keadaan demikian lama," katanya.

Beliau berkata pada bulan Ramadhan yang lepas perkara yang sama turut berlaku di rumah penduduk kampung berkenaan apabila sehelai sejadahnya turut berdiri sendiri.

Manakala bagi pembantu penguasa pejabat agama Pasir Mas, Kamarudin Zakaria yang ditemui di situ berkata beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk menggemparkan penduduk setempat.

"Ia terpulang kepada tafsiran setiap individu untuk menganggap ia perkara ajaib atau sebagainya, tetapi bagi saya perkara-perkara sebegini boleh memesongkan akidah seseorang," katanya.

Kamarudin berkata pihaknya akan memaklumkan perkara berkenaan kepada jabatan agama dan jika sejadah masih dalam keadaan demikian sehingga esok, pihaknya akan mengambil tindakan yang perlu.

Sementara itu, kawasan sekolah berkenaan sesak dengan orang ramai yang ingin melihat kejadian itu dari dekat. BERNAMA

Berita terdahulu...Kosmo 15 september 2009

PASIR MAS - Percaya atau tidak, sehelai sejadah bergerak dan berdiri secara tiba-tiba hingga menggemparkan seisi rumah warga emas, Sharifah Nor Syed Agil, 61, di Kampung Tok Sangkut, Repek di sini pagi kelmarin.

Mereka mendakwa, bentuk sejadah itu ketika berdiri kelihatan seolah-olah seperti seorang lelaki atau wanita yang sedang menunaikan sembahyang dan berada dalam keadaan duduk di antara dua sujud.

Kejadian misteri itu berlaku kira-kira hampir lapan jam sehingga mengundang ramai penduduk kampung ke rumah tersebut untuk menyaksikan keajaiban sejadah itu yang dikatakan berdiri tanpa bantuan sesiapa.

Namun, kejadian pelik itu berakhir apabila sejadah itu kembali menyembah lantai setelah seorang tetamu yang hadir menyentuhnya meskipun telah dilarang.

Menurut Sharifah Nor, kejadian pelik itu disedari oleh anaknya, Mohd. Faizal Mohd. Zin, 27, yang kebetulan baru saja terjaga daripada tidur di ruang tamu rumah pukul 8.30 pagi ketika dia sedang sibuk membuka kedai runcitnya.

Menyedari sejadah milik ibunya sedang berdiri, perasaan takut mula menyelubungi Mohd. Faizal dan terus memanggil ibunya yang berada di kedai untuk memaklumkan keadaan tersebut.

Wajarkah Had 10 Mata Pelajaran?

Kementerian Pelajaran telah mengumumkan had pengambilan mata pelajaran kepada 10 subjek sahaja mulai SPM 2011. Ini bermakna mulai tahun depan, pelajar tingkatan 4 hanya akan memilih 10 subjek sahaja.
Subjek teras yang wajib diambil untuk setiap pelajar ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik dan Pendidikan Islam/Pendidikan Moral. Bagi pelajar aliran sains subjek elektif ialah Fizik, Kimia, Matematik Tambahan, Biologi dan EST.

Peraturan ini akan memberi kesan terutamanya kepada pelajaran aliran agama yang turut mengambil mata pelajaran sains. Sebenarnya, ini juga dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan kerajaan yang tidak mahu pelajar aliran agama hanya menumpukan kepada subjek agama semata-mata. Justeru, kerajaan menggalakkan pelajar agama mengambil subjek sains.
Kesan daripada dasar ini, lahirlah doktor, jurutera dan para profesional yang bukan sahaja pakar dalam bidang teknikal ini tetapi turut menjadi hafiz quran dan mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam bidang agama. Seimbang dunia dan akhirat.

Apa akan terjadi kepada Sekolah Menengah Berasrama Penuh Integrasi(SBPI) aliran agama dan Sekolah Imtiaz yang ditubuhkan oleh Kerajaan Terengganu yang menawarkan campuran subjek sains dan agama?

Sekali bah, sekali pantai berubah. Demikian dasar pelajaran kita walaupun parti yang sama memerintah. Perubahan menteri turut sama diikuti dengan perubahan dasar yang agak drastik.

Perhatikan surat pembaca di bawah dan jawapan kementerian. Jawapan yang diberikan agak mengecewakan berbanding rasional yang diadukan oleh pembaca.

Kita tidak mahu dasar seperti PPSMI. Diperkenalkan secara tergesa-gesa dengan pelbagai rasional walaupun ditentang dengan hebat. Kini kembali ke dasar asal dengan rasional yang diberikan oleh golongan yang membangkang dulu.

Sekali bah, sekali pantai berubah. Tetapi ingat salah dasar pelajaran, punah satu generasi.



Maklum balas pihak KPM:



--

18 October 2009

Anak Haram Bertambah... apa akal kita?

Sudah berada di zon kritikal!

Itu laporan yang dilaporkan oleh Harian Metro, 19 oktober 2009. Hari minggu yang tenang pada hari ini tiba-tiba diusik oleh statistik anak haram yang semakin bertambah akibat daripada pergaulan bebas yang saya percaya dan yakin sebahagian besarnya terdiri daripada orang Melayu beragama Islam. Saya juga yakin bukan sahaja muda-mudi terlibat dalam aktiviti seks bebas, muda-mudi yang sudah bergelar ayah, ibu dan datuk juga turut terlibat. Golongan yang terlibat juga melepasi sempadan taraf sosial. Daripada golongan miskin, sederhana, kaya, jutawan, bergelar, pendidikan rendah hingga pendidikan yang paling tinggi, semuanya ada.

Apa dah jadi dengan orang Melayu kita? Kita selalu mendabik dada kita masih punya gaya hidup yang luhur, berbudi bahasa, tinggi akhlaknya dan pastinya kita berbangga kita beragama Islam. Kita katakan kita masih bersopan-santun. Sering kita mencemuh budaya luar yang dianggap telah rosak manakala kita sendiri mendakwa kita masih suci dan kedudukan kita jauh lebih baik daripada mana-mana kelompok manusia di dunia ini. Benarkah dakwaan itu? Kita sahaja yang beranggapan sedemikian. Berita berikut menjadi bukti bahawa kita hanya syok sendiri. Sebagai Melayu yang beragama Islam bukan ini cara hidup kita. Kegagalan kita mengamalkan ajaran Islam itu pada saya menjadi punca utama senario ini berlaku. Kita tahu tapi kita tidak mengamalkan ajaran itu.

Golongan beragama pula, lebih memikirkan ganjaran daripada ceramah tanpa memikirkan pelbagai kaedah untuk mengekang budaya yang sungguh hina ini. Ada antara golongan yang kita sangat bergantung harap ini sanggup memilih tempat dan kadar bayaran ceramah. Di mana majlis agama Islam? Apa yang akan dilakukan oleh mereka?

Parti politik Melayu pula asyik mendakwa bahawa mereka lebih Islam. Mereka asyik menyalahkan antara satu sama lain. Alangkah baiknya jika dakwaan kononnya lebih Islam akan menguntungkan Islam itu sendiri. Masing-masing sepatutnya berlumba hendak melakukan sesuatu yang menunjukkan mereka lebih Islam seperti menjalankan palbagai program dakwah kepada golongan yang sedang hanyut dengan maksiat tidak kira remaja belasan tahun hinggalah 'remaja' puluhan tahun yang sudah bergelar ayah dan atuk tetapi masih bergelumang dengan dosa. Malangnya persaingan mereka hanyalah di sudut siasah sahaja untuk memerintah negara.

Pada pendapat saya semua pihak berperanan tetapi yang berkuasa menentukan dasar, penguatkuasaan dan tugas dakwah ini perlu dilihat lebih menonjol. Apa salahnya jika kempen merokok, kempen kebersihan, kempen pilihan raya dan pelbagai jenis kempen lagi sering berkumandang dan diiklankan di semua media, apa salahnya kempen menyeru orang Melayu kembali kepada Islam seperti kempen ke masjid, kempen solat dan kempen anti pergaulan bebas ini juga diuar-uarkan dalam tv, surat khabar dan papan-papan tanda.

Berita di bawah ini diharapkan menjadi renungan dan tindakan kita bersama sebelum kita sudah terlambat apabila generasi akan datang sebahagian besarnya terdiri daripada anak haram yang tidak berdosa ini. Agaknya apa akibat kepada sistem sosial kita pada masa itu?


Anak haram bercambah

Oleh NAZARALI SAERIL dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN
metahad@hmetro.com.my(18 okt 09)


KUALA LUMPUR: Amalan seks bebas di kalangan remaja pada masa ini boleh dianggap memasuki zon kritikal apabila data dikumpul daripada dua rumah perlindungan wanita di Lembah Klang mencatatkan 2,701 kes kehamilan luar nikah sejak 1996 sehingga September lalu.

Jika diambil kira statistik rumah perlindungan lain di seluruh negara, kes yang tidak dilaporkan dan kejadian buang bayi yang berlaku hampir setiap hari, angka sebenar remaja hamil luar nikah pasti meningkat berlipat kali ganda.

Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof, berkata sejak beliau membuka rumah perlindungan itu 21 tahun lalu yang secara khusus menguruskan kebajikan wanita hamil luar nikah, secara purata 191 bayi tak sah taraf dilahirkan di Kewaja setiap tahun atau 16 bayi sebulan.

“Lebih membimbangkan, ketika jumlah kes yang saya kendalikan meningkat, usia wanita hamil luar nikah itu makin menurun kerana ada yang baru berusia 15 tahun,” katanya.
Bagi Yang Dipertua Baitul Fiqh, Juhaidi Yean Abdullah, secara purata pihaknya menguruskan lapan hingga 10 wanita hamil luar nikah setiap bulan dan sepanjang lima tahun kewujudannya rumah perlindungan itu menguruskan 220 kes wanita hamil luar nikah.
“Yang dikesalkan, ketika kami beri bantuan kepada wanita hamil luar nikah dengan matlamat utama bagi mengelak mereka menggugurkan kandungan atau membuang bayi, ada yang cuba ambil kesempatan.

“Ini terbukti apabila seorang wanita berulang kali datang kepada kami apabila hamil luar nikah enam kali. Dia akhirnya kami serahkan kepada pusat pemulihan akhlak untuk tindakan lanjut. Ia kes kronik, tetapi kami tidak boleh berbuat apa-apa jika empunya diri tidak mahu mengubah sikap,” katanya.

Juhaidi berkata, bukan mudah menjaga sekumpulan hamil luar nikah dalam satu masa tetapi pihaknya sanggup memikul tanggungjawab itu demi kepentingan anak yang bakal lahir.

Menurutnya, antara bantuan Baitul Fiqh kepada wanita hamil luar nikah ialah mengurus proses kelahiran di hospital dan pendaftaran kelahiran bayi.

“Kami turut membantu mencari ibu bapa angkat untuk bayi itu dengan prosedur ketat. Setiap permohonan disaring dengan mengambil kira latar belakang, pendapatan dan pengetahuan agama,” katanya.

Sementara itu, Yahya menekankan kerjasama seluruh anggota masyarakat bermula daripada pemimpin, guru, agensi penguat kuasa dan ibu bapa untuk menghentikan percambahan anak luar nikah di kalangan masyarakat negara ini.

“Trend wanita lahir anak luar nikah kini sangat membimbangkan kerana ia dianggap perkara biasa dan bukan lagi hal besar. Bayangkan, hampir setiap hari secara purata saya terima dua panggilan telefon berkaitan masalah hamil luar nikah.

“Sampai satu tahap Kewaja terpaksa tolak permintaan mereka untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan kerana kami tidak lagi mampu. Namun mereka tetap mendesak dan ada yang merayu,” katanya.

Ditanya punca meningkatnya kes kehamilan luar nikah, Yahya, 45, merumuskan masalah keluarga menjadi penyebab utama.

“Ibu, ayah, adik beradik dan keluarga hidup dalam penuh kejahilan. Penghayatan agama entah ke mana dan ada ibu bapa menyalahkan anak kerana ‘tidak pandai jaga’ yang bermaksud boleh melakukan hubungan terlarang tetapi jangan sampai mengandung.

“Kesudahannya, walaupun bertaubat dan menyesal, suasana kehidupan seperti itu menyebabkan mereka kembali terjebak. Apa pun, kes berulang seperti ini tidak banyak, ” katanya.

Beliau mencadangkan satu peraturan yang membuatkan sesiapa saja takut untuk terbabit dengan seks bebas sehingga mengandung anak luar nikah diwujudkan.

“Sebagai contoh, mana-mana pasangan yang dikesan melakukan hubungan seks selain suami isteri, tidak kira sama ada yang beragama Islam atau dengan pasangan berbeza agama, mereka perlu dihukum.

“Operasi seperti mencegah lumba haram atau dadah juga perlu diselitkan dengan siasatan sama ada yang terbabit dengan gejala negatif itu melakukan seks bebas. Tangkap dan hukum mereka, baru timbul perasaan takut,” katanya yang kini menguruskan 61 wanita hamil luar nikah di pusat perlindungan kelolaannya.

17 October 2009

Ni kena tukar..Sesuai dgn Slogan Rakyat didahulukan

Baru sekejap terima e-mel drpd seorang kawan yg menghantar keratan akhbar tawaran istimewa sempena Ramadhan kereta keluaran proton di Arab Saudi.
Harga Persona di Saudi = SR 36,100

Harga Gen2 di Saudi = SR 33,600

Harga Waja di Saudi = SR 37,950

1 Saudi Riyal = RM 0.94

Ini bermakna harga Persona di Saudi = RM 33,934.
Harga Proton Gen2 di Saudi ialah RM 32,256.

Harga Waja di Saudi pula ialah RM 35,673 sahaja.

Jadi, bandingkan dengan harga model-model di atas yang dijual di Malaysia. Sebagai bandingan, harga Waja bukan automatik di Malaysia lebih kurang RM60,000. Ini memberi implikasi, harga waja di Malaysia lebih mahal RM24,000.

Jadi, sesuai dengan slogan 1 malaysia, rakyat didahulukan maka pihak kerajaan perlu memastikan harga model proton di negara ini perlu diturunkan. Malah sewajarnya, harga proton di Malaysia lebih murah daripada harga yang ditawarkan kepada penduduk Arab Saudi. Barulah apa yang diucapkan dikotakan dan bukan retorik semata-mata.


14 October 2009

7 kampung di Padang jadi kubur besar







SEORANG lelaki menyiram air ke atas jenazah dua anggota
keluarganya sebagai simbolik mencuci mayat mereka di Kampung
Lubuk Laweh, Sumatera yang dilanda gempa bumi, baru-baru ini. – Afp

PADANG 13 Okt. 09-- Pihak berkuasa Indonesia hari ini mengisytiharkan tujuh buah kampung yang musnah dalam kejadian tanah runtuh baru-baru ini, sebagai sebuah tanah perkuburan besar, selepas mereka menghentikan operasi mencari lebih 200 penduduk yang dipercayai tertimbus.

Keputusan untuk membatalkan operasi mencari di kampung-kampung yang ranap dalam tanah runtuh berpunca daripada gempa bumi 7.6 pada skala Richter di Sumatera Barat pada 30 September lalu, dibuat hasil rundingan dengan masyarakat tempatan, kata ketua polis daerah Padang Pariaman, Uden Kusumawijaya.

Gempa bumi yang turut memusnahkan bandar Padang itu meragut 809 nyawa, menurut angka korban rasmi terbaru. Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sehingga 1,100 orang terkorban.

"Persetujuan dicapai bagi menghentikan gerakan mencari mangsa yang tertimbus dalam tanah runtuh.

''Penduduk kampung sudah bersetuju dan kawasan tanah runtuh itu kini dianggap sebagai perkuburan bagi mangsa yang tertimbus," kata Uden.

Sejumlah 225 orang dipercayai tertimbus di kampung-kampung yang ditelan bumi itu, menurut jurucakap pejabat daerah Padang Pariaman, Syofrian.

"Sudah tentulah ada sesetengah penduduk yang tidak bersetuju tetapi kebanyakannya akur.

''Justeru, kami menghentikan operasi mencari mangsa kerana sangat sukar untuk menemui mereka yang masih tertimbus," katanya.

Kira-kira 100,000 rumah musnah akibat gempa bumi tersebut dan kira-kira 500,000 penduduk hilang tempat tinggal. - AFP

13 October 2009

Kerajaan Terengganu tawar pakej bulan madu percuma bagi pasangan yang ingin berpisah

KUALA TERENGGANU: Pakej bulan madu kedua secara percuma menanti pasangan yang telah berkahwin di Terengganu namun ia hanya ditawarkan kepada pasangan yang sedang berhadapan dengan masalah penceraian sahaja.

Kerajaan negeri akan menanggung semua kos bagi program berkenaan.

Bagaimanapun, pakej bulan madu itu termasuk sesi kaunseling yang akan dijalankan dalam program berkenaan.

Program tersebut diwujudkan bagi membantu pasangan yang mempunyai masalah mencari jalan penyelesaian dalam rumah tangga mereka dan mengurangkan kadar penceraian yang dicatatkan oleh negeri itu.

"Pakej bulan madu tersebut akan dilancarkan pada akhir tahun sebaik sahaja modul-modul khusus mengenainya diwujudkan. Program ini diwujudkan bagi membantu pasangan suami isteri yang ingin bercerai berbaik semula dan mengekalkan perkahwinan masing-masing," kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Pembangunan Masyarakat, Ashaari Idris di sini pada Isnin.

Program itu akan dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan Majlis Pembangunan Keluarga dan Masyarakat.

Menurut Ashaari, kerajaan negeri akan melaksanakan program perintis di mana 25 pasangan akan yang menghadapi masalah dalam perkahwinan akan dipilih untuk menyertai pakej bulan madu berkenaan.

“Bagi program ini kita menawarkan pakej tiga hari dua malam di mana-mana tempat dengan kos di bawah RM1,500 untuk setiap pasangan.

"Setakat ini hasilnya adalah positif," katanya tanpa memberikan butiran mengenai jumlah perkahwinan yang berjaya diselamatkan.

"Bagi pasangan yang berhadapan dengan masalah, khidmat kaunseling akan diberikan. Namun pakej bulan madu kedua ini hanya ditawarkan kepada pasangan yang betul-betul berhadapan dengan masalah dalam perkahwinan dan mereka yang diambang perceraian," katanya.

Ada pasangan yang mempunyai masalah namun perkahwinan mereka dapat kekal sehingga dua puluh, katanya.

"Kami faham jika pasangan yang baru berkahwin mempunyai masalah untuk saling memahami antara satu sama lain. Tapi adalah satu yang pelik bagi pasangan yang telah berkahwin selama dua puluh tahun mahu bercerai, ini satu alasan yang tidak munasabah dan tidak boleh diterima.

"Dengan pakej ini, kita berharap pasangan yang mempunyai masalah ini akan lebih menghargai perkahwinan mereka sekaligus dapat mengelakkan daripada berlakunya perceraian," katanya.