10 December 2017

11 berita baik untuk kaki masjid

11 BERITA BEST UNTUK KAKI MASJID/SURAU

Beruntunglah orang yang digelar kaki masjid. Sekurang-kurangnya mereka mendapat 11 ganjaran berikut;

1- Rasulullah berpesan: "Jika kamu melihat seseorang yang sentiasa ke masjid, maka persaksikanlah dia orang beriman. Allah berfirman: 'Sesungguhnya orang yang memeriahkan masjid-masjid Allah hanyalah orang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat (Al-Tawbah 9: 18). " (Riwayat Ibn Majah)

2- Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang pergi ke masjid jemaah, maka pada satu langkah dihapuskan dosa, pada langkah lain dicatatkan pahala, baik semasa pergi atau balik." (Riwayat Ahmad, Ibn Majah)

3- Rasulullah bersabda: "Tiada seorang Muslimpun yang sentiasa menghadirkan dirinya ke masjid-masjid untuk solat dan zikir melainkan Allah gembira menyambutnya sebagaimana ahli keluarga yang bergembira menyambut saudaranya yang sudah lama menghilang." (Riwayat Ibn Majah)

4- Rasulullah bersabda: "Ada tiga golongan semuanya dijamin Allah; ketika hidup dia diberikan rezeki dan kecukupan, apabila mati dia masuk syurga:
i. Sesiapa yang masuk ke rumahnya dengan memberi salam, maka dia dijamin Allah.
ii. Sesiapa yang keluar rumah untuk ke masjid, maka dia dijamin Allah.
iii. Sesiapa yang keluar demi untuk berjuang di jalan Allah, maka dia dijamin Allah. (Riwayat al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad)

5- Rasulullah bersabda: "Tidak berkumpul suatu kaum di mana-mana rumah Allah, mereka membaca kitab Allah dan mengkajinya sesama mereka, melainkan diturunkan kepada mereka ketenangan, diliputi rahmat dan malaikat meneduhi mereka dan Allah menyebut-nyebut mereka di depan malaikat-malaikat." (Riwayat Muslim)

6- Rasulullah bersabda: "Ada tujuh golongan yang akan dinaungkan Allah dengan naungan-Nya pada hari yang tidak ada naungan selain naungan-Nya...seseorang yang hatinya terpaut pada masjid-masjid." (Riwayat al-Bukhari)
Dalam riwayat Malik: "Seseorang yang hatinya terpaut pada masjid sehingga dia kembali kesitu semula."

7- Rasulullah bersabda: "Berilah khabar gembira kepada orang yang selalu berjalan kaki dalam kegelapan malam demi menuju ke masjid bahawa untuknya cahaya sempurna pada hari kiamat." (Riwayat al-Tirmizi)

8- Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang solat berjemaah sempat dengan takbir pertama selama 40 hari kerana Allah, dicatatkan untuknya dua pelepasan; pelepasan daripada neraka dan pelepasan daripada sifat munafik." (Riwayat al-Tirmizi)

9- Rasulullah bersabda: "Masjid rumah setiap orang bertakwa. Allah telah jamin sesiapa yang masjid menjadi ibarat rumahnya dengan keluasan, kerehatan dan kemudahan melepasi sirat menuju keredaan Tuhan." (Riwayat al-Baihaqi)

10- Rasulullah berasabda: "Sesiapa yang berpergian pada waktu awal pagi atau petang menuju ke masjid, Allah akan menyediakan baginya tempat atau hidangan di dalam syurga setiap kali dia pergi ke masjid pada awal pagi dan petang." (Riwayat Ahmad)

11- Allah berfirman: "Demikianlah, dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah maka kerana hal itu satu kesan ketakwaan hati." (Al-Hajj 22: 32)
Dan Allah juga berfirman: "Sesungguhnya orang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa."  (Al-Hujurat 49: 13)

Ya Allah semoga kami menjadi kaki masjid dunia supaya kami termasuk dalam senarai VIP-Mu di syurga.

"Ya Allah, bantulah kami untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan melakukan ibadah yang terbaik untuk-Mu."
(Riwayat Abu Dawud)

09 December 2017

Pencen pilihan

SOAL JAWAB PESARA 101

TAJUK: PERSARAAN PILIHAN

Soalan Penjawat Awam (Bakal Pesara):

Nama saya Julia Jamali, Saya berumur 45 tahun dan telah berkhidmat selama 18 tahun (dilantik pada 1 Oktober 1999) sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Jabatan Kajicuaca. Saya telah memilih skim pencen dan memilih opsyen umur persaraan 60 tahun.

Jika saya ingin bersara pada 1 Disember 2017, bagaimanakah cara untuk saya memohonnya? Apakah faedah-faedah persaraan yang akan saya terima? Betulkah pencen bulanan saya hanya akan dibayar pada umur saya 60 tahun?

Jawapan:

Puan Julia, mengikut Seksyen 12, Akta Pencen 1980 :

Syarat-syarat memohon persaraan pilihan:
- berumur sekurang-kurangnya 40 tahun pada tarikh  kuatkuasa persaraan pilihan;
- berkhidmat sekurang-kurangnya selama 10 tahun dalam perkhidmatan yang boleh diambilkira (tanpa sebarang cuti tanpa gaji, cuti berlebihan atau tempoh yang tidak layak); dan
- mendapat sokongan Ketua Jabatan

Cara memohon?
- hantar surat permohonan kepada Ketua Jabatan
- Permohonan dihantar ke JPA/KWAP melalui perakuan dan sokongan Ketua Jabatan
- Dokumen yang lengkap perlu dikemukakan ke JPA/KWAP dalam tempoh tidak kurang dari 3 bulan daripada tarikh persaraan pilihan (Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4 tahun 2003)

Faedah-faedah yang bakal diterima setelah diluluskan persaraan pilihan?
1. Award Wang Tunai Gantian Cuti Rehat (GCR)
    Formula perkiraan
    1/30 x GCR x Gaji (gaji pokok termasuk imbuhan tetap)

2. Ganjaran perkhidmatan (gratuity)
    Formula perkiraan
    7.5% x tempoh perkhidmatan dalam bulan x gaji pokok akhir

Pencen bulanan bila akan dibayar?

- ianya bergantung kepada tarikh lantikan anda

- sekiranya anda dilantik sebelum 12 April 1991, jika anda ingin bersara pilihan, maka pencen bulanan akan mula dibayar

a) pada umur 45 tahun bagi semua anggota/pegawai wanita, anggota polis berpangkat rendah daripada ASP (Inspektor ke bawah), anggota bomba berpangkat rendah, pegawai penjara (bawah dari pangkat penguasa penjara) jururawat lelaki yang bertugas di hospital mental Kerajaan; dan

b) pada umur 50 tahun bagi semua anggota / pegawai lelaki selain jawatan di atas (a).

- sekiranya anda dilantik selepas 12 April 1991, sekiranya anda ingin bersara pilihan, pencen akan mula dibayar kepada anda apabila anda mencapai umur 55 tahun, walaupun opsyen umur persaraan wajib anda adalah pada 60 tahun, anda tetap akan menerima pada umur 55 tahun dan tidak sebelum umur itu.Ini bagi menjawab soalan ke 3 puan di atas. Peraturan ini adalah sepertimana pindaan yang telah dibuat pada tahun 2011 dan masih berkuatkuasa sehingga ke hari ini.

** tiada sebarang konsep persaraan pilihan bagi penjawat awam yang memilih skim KWSP. Anda dikira meletakkan jawatan dan anda hanya layak menuntut caruman majikan dan caruman pekerja/anggota sahaja, tiada sebarang faedah persaraan dan perubatan akan diberikan kepada anda sekeluarga

Sekian dimaklumkan, terima kasih.

07 December 2017

Amerika ikhtiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel

Hari ini Presiden AS Donald Trump telah memenuhi impian Israel untuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Malahan serta merta beliau mengarahkan Kedutaan Amerika di Tel Aviv dipindahkan ke Baitulmuqdis.
CELAKANYA JERAT ZIONIS MENJAJAH BAITULMAQDIS

1. Kecelakaan besar menimpa seluruh umat Islam apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bakal mengumumkan peralihan kedutaan AS di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis. 

2. Bahaya sekali tindakan Trump ini kerana ia mengukuhkan dakwaan bahawa Baitulmaqdis – tempat suci ketiga umat Islam – adalah sememangnya ibu negara Israel sepertimana yang diidam-idamkan Zionis Israel sejak sekian lama selepas menakluknya secara haram melalui siri peperangan dengan negara-negara Arab.

3. Mengapa Trump berani bertindak sebegini meskipun telah diberi amaran oleh kuasa seperti Turki, Jerman, Perancis, dan Kesatuan Eropah?

4. Langkah kontroversi Trump ini selari dengan lobi kuat pro-Israel dalam kempen pilihan raya presiden AS 2016 antaranya oleh Sheldon Adelson, seorang pemilik kasino Yahudi yang menderma sebesar USD25 juta kepada kempen Trump. Adelson bahkan sebenarnya sejak Jun lagi menunjukkan kemarahan kepada Trump kerana menangguhkan rancangan pengalihan kedutaan AS ke Baitulmaqdis ini.  Trump jelas sekali ingin terus menambat hati para pendukung kuatnya dengan memenuhi janji manifesto pilihan raya beliau tentang Baitulmaqdis.

5. Maka tidak menghairankan apabila Israel menyambut gembira keputusan Trump ini, hingga ke tahap di mana Menteri Naftali Bennett sanggup mengecam Presiden Turki Erdogan yang menentang langkah Trump itu.

6. Faktor utama yang memudahkan Trump mengambil langkah ini ialah hakikat bahawa negara-negara Arab dilihat semakin bergantung pada AS sama ada dari segi perlindungan ancaman politik, kepentingan ekonomi, mahupun dari segi aset sistem persenjataan.  Kesepakatan AS-Arab sewaktu Riyadh Summit 2017 membuktikan hal ini.

7. Meskipun para pemimpin Arab seperti Raja Abdullah II dari Jordan, Presiden al-Sisi dari Mesir, dan bahkan Raja Arab Saudi iaitu Raja Salman turut dilaporkan menzahirkan kebimbangan kesan buruk yang bakal tercetus, namun reaksi mereka tidak seagresif Turki.  Keadaan ini berbeza sama sekali dengan nasib yang diterima Qatar yang serta-merta dipulau secara besar-besaran oleh pakatan Arab kerana kurang akur kepada agenda mereka.

8. Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan bahkan telah sejak dari awal lagi memberi amaran keras betapa tindakan Trump mengalihkan kedutaan AS ke Baitulmaqdis bakal memutuskan hubungan diplomatik Turki-Israel.  Erdogan melaungkan bahawa Baitumaqdis adalah ‘garisan merah’ yang sama sekali tidak boleh dicerobohi penjajahan Israel dengan izin Washington.  Perlu diingat, Erdogan pernah menggantung hubungan Turki-Israel selepas peristiwa pembunuhan Mavi Marmara.

9. Malah meskipun negara-negara Arab memiliki kerangka pakatan ketenteraan ala NATO Arab, hampir mustahil pakatan itu dijadikan sandaran tekanan apatah lagi dikerahkan untuk melindungi tempat suci ketiga umat Islam itu. Hal ini sama sekali berbeza dengan nasib yang diterima Yaman yang diserang sejak 2015 kerana menggulingkan Abd Rabu Mansour Hadi yang direstui Arab Saudi. 

10. Mungkin negara-negara Arab masih mengingati bagaimana mereka dikalahkan dengan begitu memalukan oleh Israel yang disokong Amerika dalam Perang Enam Hari 1967 dan Perang Ramadan (Yom Kippur) 1973.  Maka, boleh difahami apabila mereka hari ini mengutamakan kekuasaan politik di negara mereka sendiri dengan dibantu modal dari pelaburan Amerika.  Pastinya nasib negara-negara seperti Iran, Korea Utara, Cuba dan Venezuela yang dikenakan sekatan perdagangan dan transaksi antarabangsa ingin dielakkan.

11. Kuatnya pengaruh lobi Yahudi Zionis dalam pentadbiran AS bukanlah rahsia.  Sarjana Profesor John Mearsheimer dari University of Chicago dan Profesor Stephen Walt dari Harvard University telah mengupas secara akademik peranan “gabungan pakatan longgar Yahudi di Amerika” dalam karya mereka “The Israel Lobby and U.S. Foreign Policy”.

12. Sarjana Mearsheimer dan Stephen Walt menunjukkan secara jelas bagaimana pertubuhan seperti American Israel Public Affairs Committee (AIPAC) mencengkam sebahagian besar proses pembuatan keputusan dan dasar utama di Amerika – dari badan eksekutif hinggalah ke badan legislatif seperti Kongres.  Lobi Zionis ini pada hakikatnya bukan sahaja menjadikan Amerika sebagai ‘proksi’ Israel, bahkan bertentangan pula dengan kepentingan nasional Amerika itu sendiri.

13. Dasar Amerika di Asia Barat ialah antara isu di mana kepentingan Israel bercanggahan pada asasnya dengan kepentingan nasional Amerika.  Dalam pada Amerika terpaksa membiayai pelbagai kelengkapan persenjataan luar biasa Israel, Amerika juga dalam masa yang sama terpaksa turun berperang dan membiayai kempen serangan di Iraq, Afghanistan, Syria, dan juga Libya.

14. Keadaan yang sama boleh dilihat dalam kes kali ini di mana Trump berani merancang untuk mengumumkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan seterusnya memindahkan kedutaan AS ke sana. Sama sekali berbeza dengan lobi kumpulan berkepentingan lain, lobi Zionis di Amerika cukup berkesan.  Hal ini disokong kekuatan kewangan yang mereka miliki, disamping hubungan yang cukup mendasar dengan para elit di sana – termasuklah dengan Trump. 

15. Masjid al-Aqsa pula sememangnya seringkali menjadi sasaran agresif Yahudi Zionis kebelakangan ini.  Beberapa bulan sebelum ini, buat pertama kali dalam sejarah sejak 1969, Israel telah berani menghalang umat Islam daripada beribadat di Masjid Al-Aqsa. 

16. Dalam peristiwa itu, tentera Zionis bukan setakat menembak mati tiga warga Palestin yang menentang halangan Israel ini serta mencederakan 140 yang lain, mereka bahkan menembak Imam Masjid Al-Aqsa yang juga merupakan bekas Mufti Besar Palestin Sheikh Ikrima Sabri selepas solat.

17. Hakikatnya, Baitulmaqdis Timur yang dijajah Israel pada hari ini 86 peratus berada di bawah kawalan Israel dengan 200,000 penduduk Yahudi yang membuka petempatan haram di atas tanah yang diiktiraf dunia sebagai milik Palestin.  140,000 daripada penduduk Palestin yang sah di Baitulmaqdis sebaliknya dikepung secara kejam oleh tembok haram yang dibina Israel sejak 2002 tanpa akses terus kepada bekalan keperluan harian.

18. Penderitaan 324,000 warga Palestin di Baitulmaqdis juga tidak boleh disembunyikan.  Media utama melaporkan hanya 59 peratus sahaja daripada mereka yang memiliki akses sumber air rasmi, pembangunan infrastruktur yang dihalang, pemaksaan membayar cukai kepada pihak berkuasa Israel, dan seterusnya penangkapan mereka yang tidak berupaya membayar cukai berkenaan.

19. Ternyata, jerat Zionis yang dipasang sejak sekian lama semakin membuahkan hasil bagi menguasai Baitulmaqdis sepenuhnya.  Bermula dengan proksi Empayar British, seterusnya lobi di Amerika, dan kini berjaya pula mengekang kuasa Arab dan menyahstabilkan Asia Barat, Israel semakin hampir bakal diisytiharkan pemilik tanah suci ketiga umat Islam oleh Donald Trump.  Sejauh manakah umat Islam akan bertindak balas?  Adakah jalan perang Intifada akan dimulakan kembali atau langkah jangka panjang menjadi pilihan?  Ataukah kedua-duanya sekali?

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)